Skip to content

PROTECTHEALTH KOMITED MENERUSKAN KESINAMBUNGAN DALAM PROGRAM IMUNISASI COVID-19 REMAJA (PICK REMAJA) MELALUI PENGLIBATAN PENGAMAL PERUBATAN SWASTA DAN NGO KESIHATAN

22 SEPTEMBER 2021 – ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) komited meneruskan kesinambungan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) ke atas golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun dengan penglibatan pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan (PPS dan NGO) menerusi program jangkau luar sekolah, fasiliti kesihatan swasta, dan walk-in di PPV terpilih. Walk-in ini adalah inisiatif memastikan PPV yang masih dibuka digunakan sepenuhnya.

Vaksinasi remaja telah dilancarkan secara rasmi pada 20 September 2021 dan telah bermula di seluruh negara. Pelaksanaan PICK Remaja dikelola di bawah Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF-A) yang dipengerusikan oleh YB Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli berkata, “penglibatan PPS dan NGO telah terbukti berkesan memaksimumkan dan mencapai sasaran vaksinasi. Ini telah dizahirkan dalam kejayaan PICK Dewasa di mana ProtectHealth telah menyumbang kepada 47% daripada jumlah dos vaksinasi keseluruhan PICK melalui PPS dan NGO iaitu sebanyak 19,116,154 dos vaksinasi daripada 40,375,056 dos vaksinasi keseluruhan PICK. Penglibatan PPS dan NGO ini sebagai pelengkap penglibatan semua pihak di dalam PICK.”

Peratusan sumbangan PPS dan NGO yang berdaftar dengan ProtectHealth dalam PICK mengikut negeri daripada jumlah vaksinasi keseluruhan negeri adalah seperti berikut : Kuala Lumpur 88%, Selangor 73%, Johor 60%, Pulau Pinang 59%, Negeri Sembilan 41%, Melaka 33%, Kedah 27%, Terengganu 27%, Perak 24%, Sarawak 21%, Pahang 20%, WP Putrajaya 18%, Sabah 15%, Kelantan 12% dan Perlis 6%.

Lebih 3.2 juta remaja berumur 12 hingga 17 tahun akan terlibat dalam PICK-Remaja, dan golongan remaja khususnya pelajar tingkatan 4 dan 5 perlu divaksinasi secepat mungkin sebelum pembukaan sekolah pada bulan Oktober 2021 nanti. PPS dan NGO kesihatan berkemampuan membantu KKM bagi mempercepatkan kadar vaksinasi PICK Remaja. PPS dan NGO akan terlibat dalam PICK Remaja.

Sehingga hari ini, lebih 2,200 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang melibatkan PPS dan NGO yang diselia di bawah ProtectHealth telah dan sedang beroperasi di seluruh negara seperti berikut: 1,635 PPVGP (pengamal perubatan am swasta), 31 PPVKP (klinik pakar), 122 PPVHS (hospital swasta), 25 PPVACC (pusat jagaan ambulatori), 120 PPV Integrasi/Mega, dan 155 PPVIN (sektor ekonomi kritikal) dan 153 PPV Outreach.

ProtectHealth sebagai pelaksana penglibatan PPS dan NGO serta penjalin hubungan swasta dan kerajaan dalam sektor kesihatan akan terus meningkatkan penglibatan PPS dan NGO di dalam PICK.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.

Mengenai ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Diperbadankan pada 19 Disember 2016, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan, ProtectHealth menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif yang berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh KKM.

ProtectHealth adalah pentadbir Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), pengendali perkhidmatan elektronik (ESP) Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dan pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.