19 NOVEMBER 2021 – Merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 – Penggalak (CITF-B) bertarikh 16 November 2021, mengenai pendaftaran di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta, ProtectHealth ingin memaklumkan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil.

Pendaftaran Individu
• Selain secara walk-in, pendaftaran nama sebagai senarai menunggu di PPV juga boleh dilakukan melalui telefon dan/atau emel mengikut senarai PPV yang tersedia di laman web ProtectHealth (www.protecthealth.com.my) bermula 22 November 2021. Senarai PPV akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
• Individu yang layak disaran untuk mendaftar nama sebagai senarai menunggu hanya di satu (1) PPV fasiliti kesihatan swasta sahaja, bagi mengelakkan kekeliruan.
• Mereka yang telah berjaya mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu dan akan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta terbabit sekiranya ada pembatalan janji temu atau no show oleh mereka yang telah menerima janji temu vaksin dalam MySejahtera.
• Mereka yang telah menerima janji temu MySejahtera :
o dapatkan vaksin mengikut janji temu seperti yang ditetapkan
o jangan mendaftar nama dalam mana-mana senarai menunggu.

Pendaftaran secara walk-in, emel dan/atau telefon ini akan dilaksanakan bagi:
• Individu yang layak pemberian dos penggalak yang belum menerima janji temu;
o Para petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan;
o Individu berusia 40 tahun dan ke atas;
o Individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi;
o Penghuni termasuk petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang;
o Ibu yang mengandung; dan
o Keperluan ke luar negara
o Individu (termasuk remaja berusia 12-17 tahun) yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin COVID-19; dan
o Individu yang terlepas janji temu vaksin

Pendaftaran untuk senarai menunggu di PPV fasiliti kesihatan swasta di bawah ProtectHealth adalah percuma dan pada masa ini, hanya vaksin Corminaty (Pfizer-BioNTech) diberikan di PPV yang disenaraikan. Pendekatan ini akan memudahkan dan menggalakkan individu yang layak menerima dos penggalak lebih awal tanpa perlu menunggu lebih lama selain dapat membantu Kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optima.

Kami menggesa mereka yang telah mendapatkan janji temu vaksin untuk segera mendapatkan vaksin. ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan akan terus komited membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan bagi mempercepatkan dan memperluaskan capaian vaksinasi dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Lindung diri, lindung semua.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.