Skip to content

KEJAYAAN PROTECTHEALTH SEPANJANG LIMA TAHUN PENUBUHAN

27 DISEMBER 2021 – Sejak ditubuhkan pada 19 Disember 2016, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth), sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan telah berjaya memperhebatkan lagi agenda sosialnya dalam sektor penjagaan kesihatan, melalui jalinan antara sektor awam dan swasta.
Sehingga hari ini, ProtectHealth berjaya mengekalkan agenda itu melalui pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melalui penglibatan pengamal perubatan swasta (PPS) dan NGO kesihatan. Kerjasama ini dilihat sebagai kerjasama awam-swasta terbesar dalam sektor penjagaan kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli berkata,
“Melalui kerjasama strategik ini, program PICK dilihat telah berjaya memvaksinasi 27 juta rakyat Malaysia dalam tempoh yang sangat singkat. Pencapaian ini menjadikan Malaysia antara 10 negara teratas yang mendapat vaksin sepenuhnya dalam usaha melawan virus COVID-19 di seluruh dunia.”
Sehingga 19 Disember 2021, PPS dan NGO kesihatan di bawah ProtectHealth telah menyumbang lebih 28.8 juta dos vaksin, atau 47 peratus daripada jumlah 61.4 juta dos vaksin yang diberikan dan telah melibatkan lebih 2,200 Pusat Vaksin COVID-19 (PPV) di seluruh negara.
Pada masa yang sama, selaras dengan pembangunan sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan misi ProtectHealth iaitu “Kesihatan Anda, Misi Kami”, ProtectHealth sentiasa menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat sebagai pentadbir Skim Peduli Kesihatan (PeKa) B40 sejak 2019. Sehingga kini, lebih 550,000 orang telah disaring di bawah skim ini.
Dalam ucapan tahniah kepada ProtectHealth atas pencapaian lima tahunnya, Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin berharap ProtectHealth akan terus memainkan peranan utama dalam semua pembaharuan sektor penjagaan kesihatan yang dilaksanakan oleh kerajaan serta berterusan melaksanakan skim PeKa B40 pada tahun 2022.
Melalui skim ini, ProtectHealth telah berjaya menjalankan pengesanan dan intervensi awal di kalangan penerima yang layak bagi mengelak mereka menanggung kos yang tinggi untuk perbelanjaan perubatan kelak apabila mereka disahkan menghidap penyakit serius. Sehingga 30 November tahun ini, 36 peratus daripada lebih 550,000 orang yang disaring telah dikesan menghidap penyakit tidak berjangkit dan ia memberikan penjimatan kos kepada Kerajaan dengan pencegahan dan rawatan awal komplikasi.
Tahun 2021 dilihat menandakan pencapaian penting bagi ProtectHealth apabila dianugerahkan dengan dua anugerah berprestij – the Outstanding COVID-19 Vaccination Delivery of the Year di GlobalHealth Asia Pacific Awards 2021 dan Asia Pacific Outstanding Business Leader Achievement Award di Asia Pacific Outstanding Business Leader Achievement Awards oleh KSI Asia Pacific (KSI).
Selain PICK dan PeKa B40, ProtectHealth akan akan terus mempercekapkan lagi usaha dalam memperkasakan program Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) seperti mana yang diamanahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Electronic Service Provider.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.