Skip to content

TIADA KOMPROMI KEPADA PENGAMAL PERUBATAN SWASTA DAN NGO KESIHATAN YANG MELANGGAR PROSEDUR OPERASI STANDARD DAN POLISI KKM DAN PROTECTHEALTH

19 JANUARI 2022 – Susulan beberapa laporan media berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) ingin menekankan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan polisi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ProtectHealth.

Sehubungan itu, ProtectHealth menggalakkan orang ramai untuk menjadi pemberi maklumat dengan melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera sekiranya mereka mengesyaki sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. Ini boleh bertindak sebagai penghalang untuk mencegah sebarang penipuan dalam prosedur pemberian vaksin.

ProtectHealth sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Semua pengamal perubatan swasta (PPS) di bawah ProtectHealth adalah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan fasiliti kesihatan mereka adalah berlesen di bawah KKM. Ini bagi adalah syarat penerimaan ke dalam PICK bagi memastikan PPS dan NGO Kesihatan adalah sahih dan termaktub dalam Akta yang berkaitan. Selain itu, PPS dan NGO Kesihatan juga diwajibkan menghadiri latihan sebelum dibenarkan memberi vaksinasi dan menerima garis panduan yang terkini secara berkala daripada ProtectHealth dan KKM.

Bagi memastikan PPS dan NGO Kesihatan di bawah ProtectHealth melaksanakan perkhidmatan yang berkualiti dan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan ProtectHealth, audit rawak ke atas PPS dilakukan secara berkala untuk memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan. Sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti, ProtectHealth akan mengambil tindakan yang perlu dan mungkin menggantung PPS dan NGO Kesihatan daripada menjalankan vaksinasi dalam PICK. Pasukan audit perubatan kami juga menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau oleh ProtectHealth.

Selain itu, vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO Kesihatan mengikut kiraan janji temu yang dikeluarkan oleh MySejahtera. Semua vaksinasi direkodkan bersama nombor siri vaksin, pengenalan diri penerima dan pemberi vaksin.

ProtectHealth tidak bertolak ansur sekiranya terdapat PPS dan NGO Kesihatan di bawah kami didapati mempunyai sebarang salah laku yang berkaitan dengan aktviti seumpama ini dan akan memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa sekiranya PPS dan NGO Kesihatan kami didapati terlibat. 

Lindung Diri, Lindung Semua.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.