18 MAC 2022 – Orang ramai kini boleh membuat janji temu untuk dos penggalak melalui Booking Management System di aplikasi MySejahtera untuk tempahan slot janji temu bermula pada 21 Mac 2022 (Isnin), di seluruh negara.
Susulan itu, orang ramai boleh memilih PPV pilihan mereka serta tarikh dan masa pilihan untuk mendapatkan vaksinasi dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera.
Tempahan melalui Booking Management System di MySejahtera ini adalah inisiatif Kerajaan selain janji temu yang ditetapkan oleh MySejahtera sebelum ini demi meluaskan lagi liputan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak di kalangan rakyat Malaysia sebelum status vaksinasi penuh ditarik balik daripada penerima vaksin primer lengkap (dos 1 dan dos 2) yang tidak mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya 31 Mac 2022.
Langkah-langkah yang perlu di ambil:
- Pergi ke skrin utama aplikasi MySejahtera dan klik pada vaksinasi COVID-19.
- Klik pautan ‘Click here to book your appointment’
- Pilih nama PPV dan lokasi PPV pilihan.
- Pilih slot janji temu yang tersedia. Klik ‘See more’ untuk melihat slot-slot janji temu yang lain.
- Sebelum klik sahkan, pastikan semua maklumat yang dipilih betul (jenis vaksin, PPV, tarikh dan masa janji temu).
- Slot vaksinasi yang disahkan akan dipaparkan.
- Dapatkan suntikan dos penggalak anda di PPV yang dipilih berdasarkan lokasi dan slot janji temu yang dibuat
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) Dato’ Dr. Anas Alam Faizli berharap ini akan memudahkan orang ramai untuk memilih masa dan lokasi PPV pilihan mengikut kesesuaian mereka untuk mendapatkan dos penggalak
“Tujuan kemudahan ini adalah untuk memupuk kesedaran masyarakat dan tanggungjawab individu terhadap pematuhan SOP dan meluaskan akses kepada program vaksinasi sedia ada, terutamanya kepada warga emas bagi memastikan fasa peralihan kepada endemik yang akan bermula pada 1 April 2022 dapat dilaksanakan dengan selamat.
“Warga emas yang tidak divaksinasi atau tidak diberi suntikan dos penggalak dengan komorbiditi mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi jika mereka dijangkiti COVID-19. Memandangkan Ramadhan semakin menghampiri, dinasihatkan agar golongan ini segera mendapatkan dos penggalak secepat mungkin. Mari lindungi keluarga kita. Sama-sama kita tingkatkan tahap perlindungan kita sebelum memasuki fasa peralihan kepada endemik.” katanya.
Orang ramai boleh merujuk laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my untuk melihat senarai PPV pilihan yang berdaftar di bawah ProtectHealth sebagai senarai rujukan di ‘Find Vaccination Centre (PPV)’. Senarai PPV akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Sehingga kini, terdapat 2039 PPV fasiliti kesihatan swasta (klinik swasta, hospital pakar swasta, hospital swasta dan pusat penjagaan ambulatori) dan 99 PPV offsite yang berdaftar di bawah ProtectHealth yang menyediakan vaksin dos penggalak.
Sehingga 16 Mac 2022, 15.3 juta dos penggalak telah diberikan dan 82.4% atau 11.9 juta dos disumbangkan oleh pengamal perubatan swasta (PPS) dan NGO kesihatan di bawah ProtectHealth.
Lindung Diri, Lindung Semua
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.