25 MAC 2022 – Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin pada 17 Mac 2022, warga emas dinasihatkan untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan suntikan dos penggalak untuk meningkatkan perlindungan diri daripada virus COVID-19, terutamanya menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.

ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) menyedari situasi dalam kalangan rakyat, terutamanya warga emas dan memahami kebanyakan mereka mungkin tidak dapat hadir ke PPV oleh sebab masalah logistik. Oleh itu, ProtectHealth sedia membantu warga emas yang ingin mendapatkan suntikan dos penggalak dengan menyediakan perkhidmatan vaksinasi terus ke rumah melalui program sedia ada yang dikenali sebagai HOME VACCINATION.

Perkhidmatan Home Vaccination adalah inisiatif Kerajaan untuk memperluaskan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapat dos penggalak selewat-lewatnya pada 31 Mac 2022 dan untuk melindungi warga emas kerana mereka adalah golongan yang berisiko.

Di bulan Ramadan, kebanyakan warga emas dijangka berhimpun di masjid untuk menunaikan solat Tarawih dan menghadiri majlis sama ada di dalam atau di luar rumah. Dengan situasi ini yang dijangka akan berlaku dalam tempoh yang berpanjangan dan biasanya mereka berada dalam jarak yang dekat, berkemungkinan penularan virus COVID-19 lebih tinggi.

Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui kaedah berikut:

  1. TALIAN HOTLINE NASIONAL UNTUK HOME VACCINATION

Ini adalah usaha kerjasama antara ProtectHealth dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dalam menyeru semua warganegara/bukan warganegara Malaysia mendaftarkan tanggungan warga emas mereka yang tidak dapat hadir ke PPV.

Orang awam yang mempunyai tanggungan warga emas di rumah yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin boleh menghubungi talian hotline 1700-811-007 setiap hari mulai 28 Mac 2022 (9:00 pagi hingga 5:00 petang). Sebagai alternatif, orang ramai boleh menghantar teks melalui applikasi WhatsApp di talian +6012-6787911 dan mereka akan menerima maklum balas dalam masa 1 – 3 hari.

  1. DAFTAR MELALUI LAMAN WEB PROTECTHEALTH DI https://vaksincovid.protecthealth.com.my/register_vaccinee
  1. APLIKASI MYSEJAHTERA HELPDESK

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli menasihatkan semua warga emas supaya mendapatkan dos penggalak mereka dengan segera bagi memastikan peralihan kepada fasa endemik bermula 1 April ini dapat dilaksanakan dengan selamat, dan sebelum status sijil mereka pada aplikasi MySejahtera bertukar menjadi tidak lengkap.

Bagi mereka yang masih belum menerima dos penggalak sebelum 1 April, warna sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera akan bertukar kepada warna Putih. Dengan program Home Vaccination, kami ingin memberikan kemudahan dan pengalaman yang lancar dan selesa untuk warga emas yang tidak dapat hadir ke PPV.

“Walaupun gelombang Omicron dilihat tidak agresif seperti golombang Delta, tetapi bagi warga emas khususnya yang mempunyai komorbiditi, ia bukanlah penyakit ringan kerana ia boleh membawa maut. Oleh itu, kami menyeru orang ramai untuk memastikan ibu bapa anda dilindungi daripada virus COVID-19. Tolong lindungi orang yang anda sayangi, dan dengan melakukan ini, kita dapat melindungi semua orang dan seluruh masyarakat kita,” katanya.

Sehingga 24 Mac 2022, sebanyak 15.5 juta dos penggalak telah diberikan dan 12 juta dos atau 77.4% disumbangkan oleh Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penjagaan Kesihatan di bawah ProtectHealth.

ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan NGO penjagaan kesihatan akan terus membantu dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mempercepat dan memaksimumkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk Dos Penggalak.


Lindung Diri, Lindung Semua.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.