30 DISEMBER 2021 – Merujuk pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin pada 28 Disember 2021, sela masa bagi penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca (AZ) untuk dos penggalak disingkatkan kepada tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini.

Ini adalah usaha berterusan Kerajaan untuk melindungi rakyat berdasarkan bukti terkini termasuk perlindungan terhadap varian Omicron.

Selaras dengan perkara di atas, aplikasi MySejahtera akan memaklumkan janji temu mengikut kelayakan terkini iaitu mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas.

ProtectHealth memaklumkan kepada mereka yang layak dan belum menerima janji temu di aplikasi MySejahtera, boleh mendaftar sebagai senarai menunggu di pusat vaksinasi (PPV) pilihan mereka.

Langkah-langkah yang perlu di ambil:

1. Layari laman web ProtectHealth http://www.protecthealth.com.my dan cari PPV di https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find

2. Cari PPV pilihan anda yang didaftarkan di bawah ProtectHealth. Senarai PPV akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

3. Telefon PPV pilihan anda untuk mendaftar. Selain itu, boleh juga menghantar e-mel atau pergi ke PPV pilihan tersebut untuk membuat pendaftaran.

4. Individu yang layak dinasihatkan untuk mendaftar nama di satu (1) PPV fasiliti kesihatan swasta sahaja untuk mengelakkan kekeliruan.

5. Mereka yang berjaya mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahuludan akan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta sekiranya ada pembatalan janji temu atau no show oleh mereka yang telah menerima janji temu vaksin dalam MySejahtera.

Mereka yang telah menerima janji temu MySejahtera:

Selain itu, terdapat juga pusat vaksinasi (PPV) off-site, yang turut disenaraikan di laman web ProtectHealth, dengan kapasiti antara 500 hingga 3,000 dos penggalak diberikan setiap hari.

Senarai adalah seperti lampiran. Sila ikuti langkah yang sama seperti di atas untuk mendaftar di PPV off-site ini.

Pendaftaran untuk dimasukkan ke dalam senarai menunggu di PPV fasiliti kesihatan swasta di bawah ProtectHealth adalah PERCUMA.

ProtectHealth menggesa orang ramai yang layak menerima dos penggalak dan mempunyai janji temu untuk segera hadir ke PPV untuk divaksinasi.

Sehingga kini, terdapat 1,951 PPV kemudahan kesihatan swasta (klinik swasta, hospital pakar swasta, hospital swasta dan pusat penjagaan ambulatori), 72 PPV off-site dan 72 PPV jangkau luar (outreach) di bawah ProtectHealth.

Sehingga 28 Disember 2021, sebanyak 3,975,744 dos penggalak telah diberikan di bawah ProtectHealth, sejak dimulakan pada 27 Oktober 2021.

ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan NGO penjagaan kesihatan akan terus komited membantu dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mempercepat dan memaksimumkan pelaksanaan Dos Penggalak dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Lindung Diri, Lindung Semua.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.