Skip to content

MAJLIS PELANCARAN SKIM PERUBATAN MADANI & PROGRAM MADANI AFIAT PERINGKAT KEBANGSAAN 2023

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani & Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah Ipoh, Perak hari ini. Turut hadir YAB Dato Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan.

Skim Perubatan MADANI adalah satu inisiatif penting Dasar Malaysia Madani bertujuan menyediakan akses sama rata perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk memenuhi keperluan kesihatan kumpulan B40 dalam Penjagaan Kesihatan Primer Akut iaitu rawatan pesakit luar kes-kes akut. Skim ini sejajar dengan inisiatif Bitara MADANI bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan KKM. Skim ini juga mampu merapatkan jurang kritikal dalam sistem perkhidmatan dan penjagaan dengan memudahkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam Kumpulan B40 menerima rawatan di klinik swasta yang berdaftar.

Skim ini telah mendapat sambutan yang positif dan menggalakkan daripada penerima yang layak sejak diperkenalkan tiga bulan lalu. Kerajaan telah memperluaskan liputan Skim Perubatan MADANI ke seluruh negara mulai 15 September 2023 dengan sasaran lebih daripada 8.7 juta penerima layak untuk menikmati manfaat ini. Peruntukan dana sebanyak RM100 juta bagi Skim Perubatan MADANI dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 700,000 isi rumah. Dianggarkan sebanyak 1.6 juta lawatan kesihatan akut primer di bawah skim ini bakal diberikan sehingga akhir tahun.

Sehingga 29 September 2023, sebanyak 181,460 rawatan pesakit luar telah diberikan dengan jumlah tuntutan sebanyak RM8.4 juta. Manakala sebanyak 1,587 buah klinik swasta telah berdaftar dan sedia memberikan rawatan di bawah skim ini yang memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi semua lapisan masyarakat, sejajar dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan dan prinsip Universal Health Coverage.

Sementara itu, Program Madani Afiat merupakan cetusan idea YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan dalam merakyatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan merupakan sebahagian daripada agenda reformasi kesihatan yang disarankan dalam Tonggak Kedua, Kertas Putih Kesihatan 2023 yang menyarankan peralihan fokus merawat pesakit kepada paradigma baharu iaitu daripada Sick Care kepada Health Care.

Pemilihan nama “afiat” yang bermaksud sihat atau pulih itu sendiri bersesuaian dengan peranan KKM sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan di Malaysia. Madani Afiat merupakan salah satu agenda penting yang dijalankan oleh KKM bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dan ianya jelas menyokong Tonggak Kedua Malaysia MADANI. Program Madani Afiat Perak merupakan negeri kelima pelaksanaan Program Madani Afiat selepas Selangor, Kedah, Terengganu dan Johor.

Objektif Program Madani Afiat adalah untuk mendekati dan menyantuni masyarakat secara langsung bersama pemimpin dengan mempromosikan budaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan penyakit, meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan masyarakat dalam mencegah peningkatan penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD). Sejajar dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat menerusi Tonggak 1 iaitu penjagaan berasaskan komuniti.

Bagi tujuan itu, aktiviti “Touch Point”, iaitu saringan kesihatan merupakan antara pengisian utama program tersebut. Aktiviti saringan kesihatan ini dikenali sebagai Program Mobilisasi Madani Afiat, iaitu program saringan kesihatan dari rumah ke rumah yang melibatkan pemeriksaan paras tekanan darah dan paras glukos darah (hemo glucose test -HGT) selain memberi pendidikan kesihatan berkaitan cara hidup sihat. Individu yang dikesan berisiko mendapat darah tinggi dan kencing manis akan dirujuk untuk pemeriksaan dan ujian pengesahan di klinik kesihatan berhampiran.

Aktiviti “Touch Point” tersebut juga telah memberi impak besar dalam memantau dan mengumpul data dengan lebih tepat bagi membantu membentuk pelan tindakan kesihatan yang lebih efektif dan efisien pada masa hadapan.

Majlis pada hari ini turut bersekali dengan sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan dan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Negeri Perak. Aktiviti Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan pada hari ini akan melibatkan pelepasan peserta Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda yang merupakan program jangkau luar (outreach) Perkhidmatan Farmasi Penilaian Ubat-Ubatan di Rumah (Home Medication Review: HMR).

Program ini telah dimulakan sejak tahun 2004 dan pelaksanaannya melibatkan semua negeri di Malaysia. Fokus utama HMR adalah kepada pesakit berkeperluan khas melibatkan tiga disiplin utama iaitu psikiatri, geriatrik, neurologi (strok) serta kepada pesakit yang mempunyai penyakit kronik yang menggunakan pelbagai ubat di rumah atau pusat jagaan. Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah memberi bimbingan kepada pesakit yang berkeperluan terutama dalam pengurusan berkaitan ubat-ubatan. Pada hari ini, HMR turut dijalankan menerusi program “Touch Point”.

Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Negeri Perak merupakan salah satu inisiatif Pelan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). Pelbagai aktiviti telah diatur di peringkat negeri, antaranya melibatkan aktiviti Kembara Sekolah. Kembara Sekolah merupakan satu konsep yang akan memberikan impak kepada murid sekolah dalam menjaga kesihatan. Pelaksanaan BMSS bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat agar dapat bertindak dalam mengubah tingkah laku kepada amalan yang sihat dan seterusnya menyumbang kepada pengurangan beban penyakit dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelaksanaan BMSS selari dengan matlamat KKM untuk mentransformasikan kesihatan.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
1 OKTOBER 2023