28 JANUARI 2022 – Dengan bermulanya gelombang Omicron di Malaysia, dan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ProtectHealth ingin memaklumkan bahawa semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikendalikan oleh Pengamal Perubatan Swasta dan NGO Kesihatan di bawah ProtectHealth akan melaksanakan vaksinasi secara walk-in kepada semua individu berumur 18 tahun ke atas berkuat kuasa 29 Januari 2022, Sabtu di seluruh negara. Ini adalah satu initiatif selain dari janji temu vaksinasi yang diberikan MySejahtera untuk memperluaskan liputan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak.
Senarai PPV boleh didapati daripada laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my. Senarai PPV akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Bagi memudahkan proses vaksinasi, individu yang ingin hadir secara walk-in perlu memastikan sijil vaksinasi digital mereka di aplikasi MySejahtera adalah berstatus lengkap. Penerima vaksin dengan janji temu MySejahtera akan diberi keutamaan dan vaksinasi secara walk-in akan diberikan berdasarkan siapa cepat dia dapat.
Sekiranya PPV telah mencapai had kapasiti harian pemberian dos penggalak, sesetengah individu akan diminta untuk datang pada hari berikutnya. Penerima vaksin perlu mematuhi SOP dan diminta untuk tidak berkumpul di PPV bagi mengelakkan kesesakkan.
Walaubagaimanapun, orang ramai yang ingin mendapatkan vaksin di klinik swasta pilihan mereka atau berdekatan yang berdaftar di bawah ProtectHealth dinasihatkan untuk menghubungi klinik tersebut terlebih dahulu sebelum walk-in untuk mendapatkan suntikan. Ini bagi mengelakkan kesesakan kerana kebanyakan klinik swasta hanya boleh menampung kapasiti yang kecil dalam satu-satu masa.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli berkata, “Selain mengamalkan pemakaian pelitup muka dan #TRIIS, ProtectHealth menyeru agar semua yang layak, mendapatkan dos penggalak bagi melindungi diri dan orang di sekeliling kita untuk pelindungan yang lebih berkesan.”
Sementara itu, orang ramai akan masih menerima janji temu dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera kerana vaksinasi secara janji temu masih diteruskan seperti biasa.
Sehingga 27 Januari 2022, 11.5 juta dos penggalak telah diberikan dan 75.7% atau 8.7 juta dos disumbangkan oleh pengamal perubatan swasta (PPS) dan NGO kesihatan di bawah ProtectHealth.
Lindung Diri, Lindung Semua.
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.