26 FEBRUARI 2024, CYBERJAYA – Skim Perubatan MADANI yang dilancarkan sebagai program perintis sejak 15 Jun 2023 dengan objektifnya untuk mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan bandar pada masa ini masih lagi di dalam fasa penambahbaikan penyampaian dan pelaksanaan bagi mencapai objektif tersebut. Berdasarkan pemerhatian, kesesakan di fasiliti KKM di bawah fasa perintis Skim Perubatan MADANI adalah bertambahbaik.
Berkuatkuasa 26 Februari 2024, Skim Perubatan MADANI akan diperhalusi untuk memberi tumpuan kepada daerah-daerah dan penerima tertentu bagi meningkatkan keberkesanan, kemampanan dan memaksimumkan impak skim ini.
Perubahan utama kepada program Skim Perubatan MADANI ialah kawasan-kawasan pelaksanaan yang hanya akan tertumpu kepada 10 daerah yang ditetapkan iaitu W.P. Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang (Selangor), Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).
Selain daripada itu, kelayakan penerima Skim Perubatan MADANI akan memberi fokus kepada isi rumah berdaftar di 10 daerah ini sahaja dan pesakit yang pernah menerima rawatan boleh menggunakan sehingga peruntukan skim ini digunakan sepenuhnya. Klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang aktif di dalam daerah yang ditetapkan boleh terus menyediakan perkhidmatan Skim Perubatan MADANI.
Bagi memastikan perubahan tersebut berjalan lancar kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan dan klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang beroperasi di luar daerah yang ditetapkan, klinik-klinik tersebut akan mempunyai masa sehingga 29 Februari 2024, untuk mengemukakan tuntutan tertunggak bagi pesakit yang telah dirawat. ProtectHealth Corporation telah menghantar makluman kepada semua klinik swasta Skim Perubatan MADANI yang terlibat.
Penghalusan ini penting bagi keberkesanan pelaksanaan Skim Perubatan MADANI dalam mencapai objektif utama skim ini. Dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu, ProtectHealth komited untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan bagi mereka yang memerlukannya.
ProtectHealth merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Pengamal Perubatan Swasta (GP) atas khidmat bakti mereka yang tidak ternilai dalam Skim Perubatan MADANI. ProtectHealth juga komited untuk mengekalkan kerjasama dengan GP dalam semua Perkongsian Awam dan Swasta (PPP) di masa hadapan. Terima kasih sekali lagi atas kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia.
–Tamat–