4 MAC 2022 – Merujuk pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali pada 3 Mac 2022, ibu bapa atau penjaga di seluruh negara boleh mula mendaftarkan anak mereka untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak Kanak (PICKids) melalui Booking Management System di aplikasi MySejahtera yang akan berkuatkuasa pada 7 Mac 2022 (Isnin). Sebelum ini, sistem tempahan janji temu untuk PICKids ini hanya boleh dibuat oleh ibu bapa di Lembah Klang sahaja, bermula 3 Februari 2022. Ini adalah usaha berterusan Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan kanak-kanak termasuk perlindungan terhadap varian Omicron.
Selepas kanak-kanak didaftarkan sebagai tanggungan (dependent) oleh ibu bapa atau penjaga di aplikasi MySejahtera mereka, ibu bapa atau penjaga tersebut boleh memilih PPV pilihan mereka berdasarkan lokasi, tarikh dan masa pilihan untuk menempah janji temu.
Ibu bapa atau penjaga disyorkan untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera kepada versi terkini sebelum meneruskan untuk membuat janji temu.
Langkah-langkah yang perlu di ambil:
- Daftar anak sebagai tanggungan (dependent) di aplikasi MySejahtera anda
- Pergi ke skrin utama aplikasi MySejahtera dan klik pada vaksinasi COVID-19.
- Klik pada nama anak yang ingin diberikan vaksin
- Klik pada pautan biru ‘Klik di sini untuk menempah janji temu tanggungan anda’.
- Sahkan dan nyatakan bahawa tanggungan anda tidak pernah mengalami alahan yang teruk dan tidak menggunakan ubat blood-thinning. Jika anda menjawab tidak kepada mana-mana soalan tersebut, tanggungan anda akan menjalani penilaian pra-vaksinasi.
- Jika kedua-dua kotak pada soalan tersebut ditandakan, anda boleh teruskan memilih jenis vaksin dan pusat vaksinasi pilihan. Anda perlu memilih Pfizer (Children) sebagai jenis vaksin
- Pilih nama PPV dan lokasi PPV pilihan
- Pilih slot janji temu yang tersedia. Klik ‘See more’ untuk melihat slot-slot tersedia yang lain.
- Sebelum klik sahkan, pastikan semua maklumat yang dipilih betul (jenis vaksin, PPV, tarikh dan masa janji temu).
- Slot vaksinasi yang disahkan akan dipaparkan.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak yang layak bagi melindungi mereka daripada komplikasi yang serius, khususnya daripada dijangkiti Sindrom Radang Berbilang Sistem dalam Kanak-kanak (MIS-C).
“Pada Februari lalu, dilaporkan tujuh kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah di Malaysia telah meninggal dunia akibat MIS-C daripada jangkitan COVID-19 dan kes juga menunjukkan peningkatan.
“Penyelidikan membuktikan vaksin Pfizer ke atas kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun berkesan dan mampu meningkatkan imuniti dan juga dapat mengurangkan risiko penyakit yang serius akibat COVID-19. Sila lindungi keluarga anda dengan mendapatkan vaksin,” katanya.
Ibu bapa atau penjaga juga boleh merujuk laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my untuk melihat senarai PPV pilihan yang berdaftar di bawah ProtectHealth sebagai senarai rujukan di ‘Find Vaccination Centre (PPV)’
Sehingga kini, terdapat 821 PPV fasiliti kesihatan swasta (klinik swasta, hospital pakar swasta, hospital swasta dan pusat penjagaan ambulatori) dan 91 PPV offsite yang berdaftar di bawah ProtectHealth yang menyediakan vaksin untuk PICKids.
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.