SKIM PERUBATAN MADANI MELALUI KLINIK SWASTA TERPILIH DI 10 DAERAH  

Putrajaya, 25 Jun 2025

Sejak dilancarkan pada 15 Jun 2023 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Skim Perubatan MADANI telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan diterima baik oleh rakyat Malaysia khususnya penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR). 

Setakat hari ini, penerima STR yang layak di seluruh Malaysia boleh mendapatkan rawatan akut di klinik-klinik swasta yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) di sepuluh daerah terpilih, iaitu: 

  1. Kuala Lumpur; 
  1. Selangor :- Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang;  
  1. Johor:- Johor Bahru;  
  1. Perak:- Kinta;  
  1. Pulau Pinang:- Timur Laut;  
  1. Sabah:- Kota Kinabalu; dan  
  1. Sarawak:- Kuching. 

Rawatan percuma yang disediakan di bawah Skim Perubatan MADANI ini termasuklah konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan susulan. Peruntukan untuk setiap isi rumah berkeluarga bagi penerima-penerima STR adalah sehingga RM250, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang. 

Penerima-penerima STR yang layak hanya perlu membawa kad pengenalan ketika ingin mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta yang berdaftar tanpa perlu melakukan pra pendaftaran. Penerima-penerima STR yang layak juga boleh mengenal pasti klinik terdekat dan menyemak kelayakan melalui laman sesawang www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani

Selain itu, pendaftaran untuk menjadi panel klinik di bawah Skim Perubatan MADANI juga masih lagi dibuka dan kami menyasarkan jumlah klinik akan terus meningkat dari semasa ke semasa bagi meluaskan jangkauan perkhidmatan ini. Oleh itu, kami mengalu-alukan panel-panel klinik swasta yang berminat untuk berdaftar dengan ProtectHealth. 

ProtectHealth selaku pelaksana Skim Perubatan MADANI akan terus komited dalam meningkatkan akses kumpulan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik swasta melalui Public-Private Partnership (PPP) sekaligus meringankan bebanan kewangan golongan tersebut menerusi skim ini. ProtectHealth juga optimis bahawa dengan penglibatan lebih banyak klinik perubatan swasta, kebajikan dan kesejahteraan kumpulan B40 dapat ditingkatkan. 

Tentang ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. 

Ditubuhkan pada 19 Disember 2016, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) merupakan anak syarikat sepenuhnya milik ProtectHealth Malaysia, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebagai sebuah syarikat tidak berasaskan keuntungan, ProtectHealth mengkoordinasikan, mentadbir dan mengurus inisiatif berkaitan pembiayaan perkhidmatan kesihatan seperti yang diperintahkan oleh KKM. 

ProtectHealth adalah pentadbir Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), penyedia perkhidmatan elektronik (ESP) untuk Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA), Pengamal Perubatan Swasta dan NGO Kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP). 

Media untuk dihubungi  

Norbaidzuri Mohd Yusoff 
Ketua, Komunikasi Korporat ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. 
Emel: [email protected] 
No. Telefon : 03 8687 2522 
Media untuk dihubungi 

Siti Fatima Mohamed Yusop 
Komunikasi Korporat ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. 
Emel: [email protected] 
No. Telefon : 03 8687 2590 

Dikeluarkan oleh: 
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD