Skip to content

9 SEPTEMBER 2021 – ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth), mensasarkan untuk meningkatkan penglibatan pengamal perubatan swasta (PPS) dan NGO Kesihatan (NGO) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) walaupun jumlah populasi dewasa di Malaysia yang telah lengkap divaksin sudah mencecah 70.5 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr Anas Alam Faizli berkata, pihaknya masih mengalu-alukan PPS dan NGO yang berminat menyertai PICK, untuk melaksanakan program jangkauan (outreach programme) bagi meluaskan capaian pemberian vaksin ke seluruh negara dengan berdaftar di laman web ProtectHealth (www.protecthealth.com.my).

“PPS dan NGO telah berjaya mengurangkan beban negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pemberian vaksin. Dengan penglibatan ini, sehingga 8 September 2021, ProtectHealth berjaya menyumbang di Selangor dan Kuala Lumpur termasuk menjayakan Operasi Lonjakan Kapasiti dengan pemberian 10,125,055 dos ataupun 79% daripada jumlah pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur.

“ProtectHealth juga menyumbang 2,256,963 dos vaksin di Johor (58%) dan 1,199,698 (57%) dos vaksin di Pulau Pinang. Di peringkat nasional pula, ProtectHealth menyumbang 17,552,423 dos vaksin iaitu 47% daripada jumlah pemberian vaksin di bawah PICK seluruh negara”, jelas Dato’ Dr. Anas.
Sehingga hari ini, lebih 2,000 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang melibatkan PPS dan NGO yang diselia di bawah ProtectHealth telah dan sedang beroperasi di seluruh negara seperti berikut: 1,635 PPVGP (pengamal perubatan am swasta), 31 PPVKP (klinik pakar), 122 PPVHS (hospital swasta), 25 PPVACC (pusat jagaan ambulatori), 105 PPV Integrasi/Mega, dan 177 PPVIN (sektor ekonomi kritikal).

Menerusi PPV Industri (PPVIN), ProtectHealth bekerjasama dengan Kementerian-Kementerian berwajib di dalam usaha memberikan vaksin kepada pekerja sektor ekonomi kritikal.

Antara PPVIN yang melibatkan PPS dan NGO adalah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Construction Industry Vaccination Program (CIVac) di bawah Kementerian Kerja Raya (MOW), Agrofood Industry Vaccination Programme (AiVAC) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Retail Industry Vaccination (RiVac) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) serta program vaksinasi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

NGO yang berdaftar di bawah ProtectHealth seperti MERCY Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), IMARET, National Cancer Society Malaysia (NCSM) dan lain-lain sudahpun memulakan vaksinasi kepada golongan pesakit-pesakit yang terlantar (bed-ridden) dan sukar hadir ke PPV.

Program outreach ini sudah bermula ke seluruh negara sejak 6 Julai lalu. Selain itu, PPS dan NGO juga telah melaksanakan program Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Yayasan Felda untuk meluaskan capaian di kawasan pedalaman sejak 23 Ogos 2021.
Semua program outreach dan mopping up yang melibatkan PPS dan NGO di bawah ProtectHealth ini telah berjaya memberikan vaksin lebih daripada 70,000 dos.
Bergerak ke hadapan, program ini akan terus dirancakkan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan semua agensi-agensi Kerajaan berwajib.

Dato’ Dr. Anas berkata, setiap jenis PPV memainkan peranan masing-masing dengan sasaran populasi tertentu. Dengan kadar vaksinasi yang tinggi yang telah dicapai sekarang langkah berikutnya adalah untuk memastikan jangkauan outreach (mopping up) dilaksanakan untuk mencapai kepada semua penduduk Malaysia. Dato’ Dr. Anas juga berterima kasih kepada semua PPS dan NGO yang terlibat di atas sumbangan ini.

PPV telah mula ditutup secara berperingkat di kawasan yang telah mencapai vaksinasi yang tinggi.

Selain daripada PPV Kementerian Kesihatan Malaysia, PPS dan NGO bakal menjadi benteng terakhir sebagai kaedah pemberian vaksin bagi memenuhi keperluan vaksinasi setempat dan golongan memerlukan.

Oleh itu, lebih banyak PPS dan NGO diperlukan bagi mempercepatkan dan meluaskan capaian pemberian vaksin ke seluruh negara. Program outreach akan diteruskan dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan pencapaian vaksinasi dapat dimaksimumkan.

Sepertimana keputusan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ProtectHealth sahaja yang dibenarkan untuk mengendalikan vaksin yang dibeli oleh Kerajaan untuk tadbir urus yang baik.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.

Mengenai ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Diperbadankan pada 19 Disember 2016, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan, ProtectHealth menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif yang berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh KKM.

ProtectHealth adalah pentadbir Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), pengendali perkhidmatan elektronik (ESP) Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dan pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.