9 MAC 2022 – PPV Offsite yang memberi dos penggalak vaksin COVID-19 yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) akan ditutup secara berperingkat bermula Mac 2022, setelah peratusan populasi dewasa yang disuntik dos penggalak setakat ini telah mencapai 64 peratus. PPV Offsite telah dibuka untuk merancakkan pemberian dos penggalak dan objektif ini telah tercapai. Pemberian vaksin akan diteruskan oleh PPV Onsite.

ProtectHealth terus komited melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan masih membuka PPV Offsite dan Onsite untuk memberi dos penggalak kepada orang ramai. Setakat ini, 1,102 PPV Onsite dan 111 PPV Offsite dibuka pada minggu ini.

Sebelum ini, lebih 2,000 PPV yang berdaftar di bawah ProtectHealth telah beroperasi dalam memainkan peranan memberi vaksinasi dos penggalak. Berikutan itu, mereka yang merancang untuk mendapatkan suntikan dos penggalak atau dos primer vaksin COVID-19 (dos 1 dan 2) dinasihatkan untuk menyemak senarai PPV di laman web ProtectHealth: www.protecthealth.com.my untuk mengelakkan sebarang kesulitan. Senarai PPV yang berdaftar dengan ProtectHealth akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Dato’ Dr. Anas Alam Faizli menggesa mereka yang belum mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk segera mendapatkan suntikan dos penggalak yang terbukti berkesan mengurangkan kesan jangkitan COVID-19, mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan juga kadar kematian.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak yang layak bagi melindungi mereka daripada komplikasi yang serius, khususnya daripada dijangkiti Sindrom Keradangan Multisistem Dalam Kanak-Kanak (MIS-C)

“Kebanyakan PPV Offsite sebelum ini menggunakan dewan komuniti, pusat konvensyen dan pusat membeli-belah. Ini memudahkan orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak kerana terdapat banyak pilihan untuk mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara walk-in. Walau bagaimanapun, kebanyakan PPV Offsite di dewan dan pusat membeli-belah akan ditutup secara beransur-ansur tidak lama lagi.

“Jadi, adalah dinasihatkan orang ramai untuk segera mendapatkan dos penggalak. Dengan gelombang Omicron yang sedang melanda, vaksinasi terbukti dapat mengurangkan kemudaratan jangkitan COVID-19. Marilah kita melindungi diri, keluarga dan semua orang di sekeliling kita dengan mendapatkan vaksin dos penggalak. Lindungi kesihatan anda,” katanya.

Sehingga 7 Mac 2022, lebih 15 juta dos penggalak telah diberikan dan 77.5% atau 11.6 juta dos disumbangkan oleh Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penjagaan Kesihatan di bawah ProtectHealth.

Lindung Diri, Lindung Semua

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.