31 JANUARI 2022 – Susulan sidang media oleh YB Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) yang akan bermula pada 3 Februari, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) mengalu-alukan pelaksanaan program ini dan menggalakkan penyertaan Pakar Pediatrik Swasta dan Klinik Pakar dalam program ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr Anas Alam Faizli menyatakan bahawa ProtectHealth melalui Pengamal Perubatan Swasta (PPS) akan terus membantu dan bekerjasama dengan KKM dalam pelaksanaan PICKids.
Sebagai permulaan, PICKids akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi, manakala bagi kanak-kanak tanpa sebarang masalah kesihatan, vaksinasi akan diberikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.
ProtectHealth akan memastikan bahawa semua PPV di bawah ProtectHealth, termasuk PPV Integrasi, PPV Offsite dan PPV Hospital Swasta terpilih akan bersedia sepenuhnya untuk menampung kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun mendapatkan vaksin dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Untuk makluman, PPV untuk PICKids di bawah ProtectHealth akan memulakan operasi mengikut tarikh seperti dalam jadual di bawah:
JENIS PPV | TARIKH MULA BEROPERASI | HARI OPERASI |
PPV Integrasi in Kuala Lumpur and Selangor | 3 Februari 2022 | Isnin – Ahad |
PPV Offsite Terpilih di Selangor | 5 Februari 2022 | Sabtu dan Ahad |
PPV Offsite Terpilih di Kuala Lumpur | 5 Februari 2022 | Isnin – Ahad |
PPV Hospital Swasta | 7 Februari 2022 | Hari terpilih |
Sehingga 27 Januari 2022, lebih daripada 63.1 juta dos vaksin telah diberikan dan 51.5% atau 32.4 juta dos disumbangkan oleh PPS dan NGO Kesihatan di bawah ProtectHealth.
Lindung Diri, Lindung Semua.
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.