Skip to content

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menjalinkan kerjasama strategik bersama Selgate Corporation (Selgate) dalam usaha merancakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Melalui kerjasama ini, ProtectHealth akan mendaftar dan melatih 16 klinik milik Selgate dan lebih 1,200 klinik panel Selgate untuk terlibat dalam PICK terutamanya di negeri Selangor.

ProtectHealth adalah anak syarikat yang tidak berasaskan keuntungan milik penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diberi mandat untuk mendaftar, memberi latihan, memantau kualiti, membuat analisis dan pelaporan, serta membuat pembayaran kepada semua Pengamal Perubatan Swasta yang terlibat dalam PICK di seluruh negara. Terkini, ProtectHealth juga telah dilantik untuk melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dalam PICK.

Proses pendaftaran dan beberapa siri latihan akan dikendalikan ProtectHealth secara berterusan bagi melibatkan sebanyak mungkin Pengamal Perubatan Swasta di bawah Selgate di negeri Selangor untuk terlibat  dalam PICK bagi model Pusat Pemberian Vaksin General Practitioners (PPVGP), Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV Mega) dan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) kelolaan ProtectHealth.

SELGATE Healthcare adalah anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang telah diberi mandat untuk melaksanakan Programe Vaksinasi COVID-19 Selangor (SCVP) sebagai langkah sokongan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). SELGATE akan bekerjasama menimba pengalaman ProtectHealth dalam menjalankan PICK bersama pengamal perubatan swasta. Kerjasama strategik ini akan membolehkan pemindahan pengetahuan kepada SELGATE untuk memulakan program SCVP menggunakan vaksin yang dibeli secara terus daripada Pharmaniaga Berhad. Data penerima vaksin akan diselaraskan dengan MySejahtera untuk memastikan tiada yang tertinggal daripada vaksinasi dan pelaporan data adalah lengkap dan tepat di peringkat kebangsaan. Melalui perolehan vaksin ini, SELGATE akan memberi fokus kepada sektor ekonomi kritikal di Selangor. Sektor ekonomi kritikal ini adalah terutamanya bagi sektor yang perlu terus beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan sektor yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara dalam tempoh pandemik ini.

ProtectHealth akan menyediakan latihan kepada semua klinik di bawah SELGATE ini bermula 23 jun 2021 melibatkan polisi PICK, model vaksinasi, keperluan IT dan sistem, pengurusan rantai sejuk vaksin, pengendalian suntikan vaksin, pengurusan kesan sampingan vaksin, pemantauan pengurusan vaksinasi dan sebagainya.

Sinergi yang cukup positif ini dilihat akan membantu usaha Kerajaan ke arah mencapai imuniti kelompok dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Untuk rekod, Selangor mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi berbanding negeri-negeri lain sejak beberapa bulan yang lalu. Justeru, pertambahan PPV secara bersasar iaitu di negeri ini dilihat sebagai strategi serampang dua mata iaitu dalam mengurangkan kes positif COVID-19, selain membantu mencapai imuniti kelompok secara keseluruhan.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN BHD & SELGATE CORPORATION