20 JULAI 2022 – Sebagai salah satu rakan strategik untuk kempen Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang dilancarkan pada 16 Julai 2022, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) menyokong sepenuhnya kempen itu dengan menjalankan beberapa program jangkau luar Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) serta membuka awareness booth di beberapa negeri di Malaysia dari 15 hingga 17 Julai 2022.

Pelancaran NHSI di Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Perak telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh.

Dijalankan sebagai kempen selama lima bulan sehingga akhir tahun ini, NHSI mensasarkan untuk menyaring seramai 1.5 juta orang, manakala Skim PeKa B40 mensasarkan untuk menaring 200,000 bagi tahun 2022. Tahap kesedaran kesihatan di negara ini masih rendah apabila hanya kira-kira 53 peratus orang dewasa Malaysia telah menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh satu tahun yang lalu. Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah melancarkan kempen NHSI melalui kempen Jom Saring!

Semasa majlis perasmian, semua rakan strategik termasuk ProtectHealth memegang plakad untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap kempen NHSI. PeKa B40 ialah inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan yang bertujuan untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan bagi golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Disease – NCD) dan menyediakan saringan kesihatan percuma kepada golongan B40. ProtectHealth ialah pentadbir skim PeKa B40.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Dato’ Dr. Anas Alam Faizli menggesa mereka yang layak di bawah kumpulan B40, menggunakan sepenuhnya program PeKa B40 dengan melakukan saringan kesihatan untuk mengesan sebarang penyakit tidak pada peringkat awal.

Seramai 5,950,291 rakyat Malaysia layak menerima manfaat di bawah program PeKa B40. Sehingga 30 Jun 2022, 640,553 individu telah disaring sejak PeKa B40 dilancarkan pada 15 April 2019.

Selaras dengan NHSI, ProtectHealth telah menganjurkan bersama kempen kesedaran dan jangkau luar PeKa B40 di Sabah, Pulau Pinang dan Lembah Klang dari 15 -17 Julai 2022:
● Program Jangkau Luar PeKa B40 dengan kerjasama Yayasan Petronas di Pitas, Sabah (Kg Mangkapon, Kg Boribi, Kg Gunsali, Kg Mapad dan Kg Ranggal)
● Khemah Promosi dan Kesedaran PeKa B40 bersempena dengan Program iSejahtera di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah, Seberang Perai Tengah, Penang
● Program Jangkau Luar PeKa B40 di Dewan Mutiara, Jabatan Kerja Raya, Seberang Perai Tengah, Penang
● Khemah Promosi dan Kesedaran PeKa B40 bersempena dengan BP Health Carnival di KL Convention Centre
● Khemah Promosi dan Kesedaran PeKa B40 di Karnival Komuniti PPZ-MAIWP di PPR Seri Perlis 2, Kuala Lumpur

Program yang sama turut giat dijalankan setiap minggu di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran dan bilangan saringan kesihatan di negara ini.

PeKa B40 dilaksanakan untuk memberi fokus kepada pengesanan awal Penyakit Tidak Berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan penyakit jantung atau dikenali sebagai NCD dalam kalangan B40. Oleh itu, penerima akan lebih mengetahui status kesihatan mereka secara keseluruhan.

“Pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa. Orang ramai boleh menyemak kelayakan mereka, dengan memasukkan nombor kad pengenalan di laman web kami di https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan,” kata Dato’ Dr. Anas.

Your Health, Our Mission
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.