Skip to content

PROTECTHEALTH MENYAMBUT BAIK PERUNTUKAN BELANJAWAN 2024 UNTUK SKIM PERUBATAN MADANI

13 OKTOBER 2023 – ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) menghargai dan memberi sokongan penuh terhadap komitmen teguh yang tidak berbelah bahagi Kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berterusan kepada kumpulan B40 seperti yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2024, hari ini.

Susulan pengumuman bajet hari ini oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ProtectHealth menyambut baik peruntukan sebanyak RM41.2 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merupakan bukti komitmen berterusan Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan Rakyat terjamin. ProtectHealth mendukung inisiatif Kerajaan dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada kumpulan B40 melalui Skim Perubatan MADANI.

Sebagai pelaksana Skim Perubatan MADANI, ProtectHealth akan terus bekerjasama dengan Klinik Perubatan Swasta bagi menyediakan perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Primer Akut dalam memastikan kumpulan B40 mempunyai akses kepada perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan.

Dengan peruntukan sebanyak RM 100 juta untuk Skim Perubatan MADANI, ProtectHealth yakin bahawa program ini akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 isi rumah pada tahun akan datang. Penerima yang layak akan mendapat akses kepada Penjagaan Kesihatan Primer Akut di Klinik Perubatan Swasta yang berdaftar tanpa sebarang caj. Inisiatif ini akan terus meringankan beban kewangan mereka dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan pada masa yang sama akan meningkatkan kesejahteraan individu berpendapatan rendah. Sehingga 12 Oktober 2023, lebih 240,000 lawatan pesakit di bawah Skim Perubatan MADANI dengan kira-kira 150,000 keluarga telah mendapat manfaat.

Belanjawan 2024 akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia, terutamanya kepada kumpulan B40. Ia juga dapat menambahbaik sistem kesihatan negara sejajar dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 yang bertujuan untuk menstruktur semula sistem kesihatan negara.

ProtectHealth menggalakkan semua penerima yang layak untuk memanfaatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disediakan melalui Skim Perubatan MADANI. Layari www.protecthealth.com.my untuk maklumat lanjut, kriteria kelayakan, dan cara untuk mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan yang tersedia ini.

Tamat