22 OKTOBER 2021 – Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia bertarikh 21 Oktober 2021 yang menyentuh tentang pelaksanaan pemberian dos penggalak (booster dose) bermula 13 Oktober 2021, ProtectHealth menyambut baik perkara ini dan menyasarkan lebih banyak penglibatan pengamal perubatan swasta (PPS) bagi meluaskan lagi capaian pemberian dos penggalak (booster dose) ke seluruh negara.

Sehingga hari ini, lebih 3,699 PPS telah berdaftar dengan ProtectHealth dan 2,352 beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi COVID-19 Remaja (PICK Remaja). Memandangkan pelaksanaan pemberian dos penggalak akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth, ProtectHealth kini dalam usaha meningkatkan jumlah ini dan amat menggalakkan semua PPS yang berminat untuk menyertai PICK sebagai PPV untuk berdaftar di laman web ProtectHealth (www.protecthealth.com.my). Bagi PPS yang telahpun menyertai taklimat, dan latihan serta bersedia boleh memaklumkan kepada ProtectHealth melalui Vaksin Control System (VCS) yang boleh dicapai di laman web ProtectHealth yang telah dibangunkan bagi memulakan operasi sebagai PPV.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr Anas Alam Faizli berkata, ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta akan terus komited membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan bagi mempercepatkan dan memperluaskan capaian vaksinasi dalam pemberian dos penggalak (booster dose). Sehingga 20 Oktober 2021, ProtectHealth telah berjaya menyumbang sebanyak 48% vaksinasi bersamaan 23,017,792 dos dalam PICK.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.

Mengenai ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Diperbadankan pada 19 Disember 2016, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan, ProtectHealth menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif yang berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh KKM.
ProtectHealth adalah pentadbir Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), pengendali perkhidmatan elektronik (ESP) Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dan pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.