23 MAC 2022 – ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth), sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kesedaran yang lebih tinggi mengenai Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40). Dalam hubungan strategik ini, TERAJU akan mengenal pasti klinik-klinik yang akan menyertai program ini, bagi meningkatkan jangkauan kepada komuniti Bumiputera B40 di seluruh negara.
ProtectHealth sebagai pentadbir skim penjagaan kesihatan untuk PeKa B40, satu inisiatif untuk menangani trend penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Disease – NCD) yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah. Matlamat utama PeKa B40 adalah untuk pengesanan dan intervensi awal NCD. Dengan kos penjagaan kesihatan yang melambung tinggi disebabkan oleh banyak faktor, salah satu kumpulan yang terjejas teruk ialah kumpulan B40. Oleh itu, melalui program PeKa B40, penerima yang layak boleh mendapat manfaat daripada pemeriksaan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan percuma, insentif melengkapkan rawatan kanser serta insentif tambang pengangkutan. ProtectHealth adalah organisasi pertama di negara ini yang berjaya membeli perkhidmatan daripada kedua-dua penyedia penjagaan kesihatan awam dan swasta dan telah menjana penjimatan kos yang besar kepada kerajaan.
“Fokus kita adalah untuk membawa PeKa B40 dengan lebih dekat lagi kepada masyarakat melalui kerjasama dengan TERAJU ini, melalui Memorandum Persefahaman ini juga dapat meluaskan akses program PeKa B40 ini di seluruh negara. TERAJU sebagai rakan strategik kami akan meningkatkan rangkaian kami, dalam mendekati lebih ramai penerima manfaat yang layak untuk menikmati faedah PeKa B40. Insyaallah ini juga akan membuka jalan untuk bekerjasama dengan TERAJU dalam bidang strategik yang lain,” kata Dato’ Dr. Anas Alam Faizli, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth.
“Kejayaan program PeKa B40 terbukti apabila pendekatan “whole-of-government” dan “whole-of-society” Malaysia membuahkan hasil. Kami akan terus melibatkan diri dengan pihak berkepentingan utama yang lain untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam kalangan masyarakat Malaysia mendapatkan apa jua manfaat yang disediakan,” tambah Dato’ Dr. Anas
Manakala, Encik Md Silmi Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU berkata, “Persefahaman yang dimetrai hari ini bersama ProtectHealth, adalah satu contoh terbaik di mana sistem penyampaian Kerajaan dapat diperluaskan kepada semua lapisan melalui ekosistem TERAJU kepada komuniti B40 Bumiputera yang kurang berkemampuan. Di Sabah sahaja, program PeKA B40 ini dianggarkan akan memberi manfaat kepada lebih dari 400,000 Bumiputera di beberapa daerah di wilayah ini. Di Sarawak pula, dianggarkan seramai 480,000 orang bakal mendapat manfaat dari program ini. TERAJU akan terus memberi penekanan kepada inisiatif keselamatan sosial ini ke negeri-negeri lain, dan menjadikannya sebahagian dari program-program libat urus kami selaku agensi penyelaras utama di samping membantu meningkatkan status ekonomi Bumiputera”.
Lebih 567,956 orang daripada kumpulan B40 telah disaring di bawah program PeKa B40 tetapi masih terdapat 5.9 juta rakyat Malaysia yang layak dan belum menyertai program PeKa B40.
“Ramai yang dijangkiti COVID-19 tidak mengetahui bahawa mereka menghidap NCD. Oleh itu, adalah penting untuk kita sentiasa mengetahui keadaan kesihatan anda dengan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, terutamanya semasa wabak ini.
“Jangan kita lupa walaupun kita sedang memasuki fasa peralihan endemik COVID-19, namun salah satu isu utama dan berterusan dalam kalangan masyarakat adalah dalam memupuk tingkah laku mencari kesihatan dan mengekalkan gaya hidup sihat. Kerjasama strategik antara ProtectHealth dan TERAJU ini juga bertindak sebagai pemangkin dalam memacu negara ke arah kehidupan yang lebih sihat. NCD sentiasa menjadi salah satu ketakutan terbesar dalam masyarakat kita, dan program PeKa B40 akan menggalakkan pengesanan dan intervensi awal”, tambah Dato’ Dr. Anas Alam Faizli.
Untuk maklumat lanjut mengenai Peka B40 dan kelayakan, layari www.PekaB40.com.my
Lindung Diri, Lindung Semua.
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.