Skip to content

SEMUA DOS PENGGALAK DI BAWAH PICK ADALAH PERCUMA

7 DISEMBER 2021 – ProtectHealth ingin menegaskan bahawa semua jenis vaksin di bawah PICK adalah percuma dan kosnya telah ditanggung oleh Kerajaan. Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac Biotech Ltd iaitu CoronaVac (vaksin Sinovac) juga ditawarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta dan PPV off-site di bawah seliaan ProtectHealth dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dos penggalak.

Untuk makluman semua, ketersediaan vaksin Sinovac adalah terhad dan ianya akan diberikan  keutamaan kepada mereka yang mempunyai alahan terhadap mana-mana vaksin COVID-19 selain daripada vaksin Sinovac sepertimana yang telah disyorkan oleh pakar perubatan bertauliah. Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga turut mengesyorkan penerimaan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sebagai dos penggalak adalah lebih disarankan kerana ianya mampu memberikan perlindungan yang lebih baik (better efficacy).

ProtectHealth juga ingin memberitahu bahawa vaksin Sinovac juga turut dijual dalam pasaran swasta. Oleh sebab itu, akan terdapat sebilangan PPV fasiliti kesihatan swasta di bawah PICK yang akan menjual vaksin Sinovac secara terus bagi penerimaan dos penggalak. Penjualan vaksin ini di PPV fasiliti kesihatan swasta bukanlah di bawah program PICK dan tidak dikawal selia oleh ProtectHealth.

Penerima dos penggalak yang ingin mendapatkan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak adalah dinasihatkan untuk bertanya kepada PPV fasiliti kesihatan swasta terlebih dahulu sekiranya fasiliti tersebut menawarkan vaksin Sinovac melalui PICK ataupun tidak. Fasiliti kesihatan swasta yang menjalankan pemberian vaksin Sinovac melalui PICK dan program pembelian vaksin (private purchase vaccine) perlu mengutamakan pemberian vaksin Sinovac di bawah PICK yang diberikan secara percuma terlebih dahulu sebelum menawarkan vaksin Sinovac secara pembelian kepada penerima vaksin.

PPV juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada penerima dos penggalak akan ketersediaan vaksin Sinovac di bawah PICK dan menjelaskan kepada mereka yang program pembelian vaksin di fasiliti kesihatan swasta tidak ditanggung oleh Kerajaan.

ProtectHealth menyeru mereka yang telah menerima janji temu vaksin dos penggalak untuk segera mendapatkan vaksin mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan. Sekali lagi ditegaskan bahawa semua jenis vaksin yang terlibat dalam pemberian dos penggalak oleh Kerajaan adalah vaksin yang telah disarankan oleh pakar perubatan bertauliah dan ianya diberikan secara percuma.

Sehingga 6 Disember 2021, PPV fasiliti kesihatan swasta dan off-site di bawah seliaan ProtectHealth telah menyumbang lebih 1.91 juta dos penggalak bersamaan 63% daripada keseluruhan 3,048,396 dos yang telah diberikan dalam PICK.

Mengenai ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.

Diperbadankan pada 19 Disember 2016, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan, ProtectHealth menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif yang berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh KKM.

ProtectHealth adalah pentadbir Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), pengendali perkhidmatan elektronik (ESP) Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dan pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.