Skip to content

SKIM PERUBATAN MADANI KINI DIPERLUAS KE 11 DAERAH, KLINIK PERUBATAN SWASTA UMUM (GP) DIALU-ALUKAN UNTUK MENDAFTAR

Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2023, Skim Perubatan MADANI dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif Bitara MADANI bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan Kerajaan. Skim Perubatan MADANI telahpun bermula pada 15 Jun 2023 di 10 daerah, dan bertujuan untuk membantu rakyat khususnya kumpulan B40 bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes-kes akut) di klinik perubatan swasta umum (GP).

Skim Perubatan MADANI yang ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah, dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat dengan menampung kos rawatan kes-kes akut. Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan di klinik perubatan swasta umum.

Skim ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah, dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Peruntukan bagi setiap isi rumah untuk separuh tahun kedua 2023 adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang. Bagi memastikan akses yang mudah dan cepat, mereka yang layak hanya perlu membawa MyKad ke klinik panel Skim Perubatan MADANI untuk menerima rawatan akut percuma. Sehingga kini, lebih dari 700 GP telah berdaftar sebagai klinik panel di bawah Skim Perubatan MADANI.

Untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan, skim ini akan diperluaskan ke 11 daerah lain. Pelaksanaan disasarkan bermula pada minggu ke-2 Ogos 2023 di empat daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda (Kedah), Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (Terengganu). Seterusnya, daerah-daerah lain seperti Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis akan bermula pada minggu ke-4 Ogos 2023.

KKM dengan ini mengalu-alukan GP di daerah terlibat untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan MADANI bermula hari ini dengan melayari laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525.

KKM akan terus komited dalam menyediakan dan menambahbaik penjagaan kesihatan berkualiti secara holistik dan mampan bagi meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

DR. ZALIHA BINTI MUSTAFA
MENTERI KESIHATAN
8 OGOS 2023